16. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku.
17. Mereka selalu berkata kepada orang yang tidak mahu mendengarkan firman-Ku, ‘Kamu akan selamat.’ Mereka berkata kepada setiap orang yang degil, ‘Kamu tidak akan ditimpa bencana.’ ”
18. Aku berkata, “Tiada seorang pun daripada nabi-nabi itu mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran TUHAN. Tiada seorang pun antara mereka yang pernah mendengar dan memahami rancangan-Nya; tiada juga yang memperhatikan atau mengendahkan firman-Nya.
19. Kemurkaan-Nya bagaikan angin ribut yang mengamuk dan melanda orang jahat.
20. Kemurkaan-Nya tidak akan reda sebelum semua rancangan-Nya dilaksanakan. Pada kemudian hari, umat TUHAN akan memahami hal itu dengan jelas.”
21. TUHAN berfirman, “Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, namun mereka pergi juga. Aku tidak memberikan perkhabaran kepada mereka, namun mereka berkata-kata demi nama-Ku.
22. Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku. Dengan demikian umat-Ku akan berhenti melakukan dosa dan perbuatan yang jahat.
23. Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja.