9. Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus.
10. Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku.
11. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.”
12. Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas.
13. Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas.
14. Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api.
15. Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar.
16. Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari.
17. Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung.