Matius 24:23-31 Alkitab Berita Baik (BM)

23. Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu.

24. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu.

25. Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku.

26. Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya.

27. Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat.

28. Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.”

29. “Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya.

30. Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.

31. Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.”

Matius 24