26. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’
27. Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!”
28. Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?”
29. Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa.
30. Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’
31. Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.”