Lukas 6:39-45 Alkitab Berita Baik (BM)

39. Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Jika seorang buta memimpin seorang buta yang lain, maka kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang.

40. Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya. Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya.

41. Mengapakah kamu memperhatikan selumbar di dalam mata saudara kamu, tetapi tidak memperhatikan kayu balak di dalam mata kamu sendiri?

42. Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, ‘Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.”

43. “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.

44. Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak.

45. Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati.”

Lukas 6