7. Kemudian ambillah minyak upacara dan tuangkan ke atas kepalanya untuk mentahbiskan dia.
8. Selepas itu, suruhlah anak-anak Harun datang dan pakaikan baju labuh pada mereka;
9. pakaikan juga ikat pinggang pada mereka, dan kenakan ikat kepala pada mereka. Demikianlah caranya engkau mentahbiskan Harun serta anak-anaknya. Mereka dan keturunan mereka harus mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam selama-lamanya.
10. Kemudian bawalah lembu jantan itu ke hadapan Khemah-Ku. Suruhlah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan itu.
11. Sembelihlah lembu itu di hadirat-Ku, di hadapan pintu masuk Khemah.
12. Ambil sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu sapukan darah itu pada unjuran-unjuran mazbah. Kemudian tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah.