24. Letakkan semua roti ini di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu suruh mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.
25. Kemudian ambillah semua roti itu daripada mereka dan bakarlah di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati-Ku, sebagai persembahan makanan.
26. Ambillah dada domba jantan itu dan persembahkannya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Dada domba jantan itu untukmu.
27. Apabila seorang imam ditahbiskan, dada dan paha domba jantan yang digunakan untuk upacara pentahbisan itu harus dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa, lalu diasingkan untuk para imam.
28. Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN.
29. Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan.
30. Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari.