5. Mereka membawa semua yang sudah diperintahkan oleh Musa ke hadapan Khemah TUHAN, dan segenap umat itu berkumpul di situ untuk menyembah TUHAN.
6. Musa berkata, “TUHAN memerintah kamu untuk melakukan semua itu supaya kamu boleh nampak cahaya hadirat TUHAN.”
7. Musa berkata kepada Harun, “Pergilah ke mazbah lalu persembahkanlah korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya dosamu dan dosa semua orang ini diampunkan oleh TUHAN. Lakukanlah hal ini seperti yang diperintahkan oleh TUHAN.”
8. Kemudian Harun pergi ke mazbah itu lalu menyembelih lembu jantan muda yang dikhaskan bagi korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri.
9. Anak-anak Harun membawa darah lembu itu kepada Harun, dan dia mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah itu. Dia menyiramkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
10. Kemudian dia membakar lemak lembu jantan itu, buah pinggang, dan bahagian terbaik daripada hati lembu itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN melalui Musa.
11. Tetapi Harun membakar daging lembu jantan itu dan kulitnya di luar perkhemahan.
12. Selepas itu Harun menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi dirinya sendiri. Anak-anaknya membawa darah binatang itu, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah.
13. Anak-anak Harun memberikan kepala dan bahagian lain binatang itu kepada Harun, lalu Harun membakarnya di atas mazbah.
14. Kemudian dia mencuci isi perut dan paha binatang itu, lalu membakarnya di mazbah, di atas segala korban lain, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
15. Kemudian Harun mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia mengambil kambing yang akan dipersembahkan, menyembelihnya, lalu mempersembahkan kambing itu sebagaimana yang sudah dilakukannya pada korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri.
16. Dia juga membawa binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu mempersembahkannya menurut peraturan.
17. Dia mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, lalu mengambil segenggam tepung dan membakarnya di atas mazbah. Korban ini adalah tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang dipersembahkan setiap hari.