3. Pada suatu hari, malaikat TUHAN menampakkan diri kepada isteri Manoah dan berkata, “Selama ini engkau tidak mempunyai anak, tetapi tidak lama lagi engkau akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.
4. Oleh itu jagalah dirimu baik-baik. Jangan minum wain atau minuman keras, dan jangan makan makanan haram.
5. Selepas anakmu lahir, jangan sekali-kali potong rambutnya kerana sejak hari kelahirannya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir. Dia akan mula membebaskan umat Israel daripada kekuasaan orang Filistin.”
6. Kemudian perempuan itu pergi kepada suaminya dan berkata, “Seorang utusan Allah datang kepadaku. Rupanya seperti malaikat Allah sehingga aku ketakutan. Aku tidak bertanya dari mana dia datang, dan dia pun tidak memberitahukan namanya.
7. Tetapi dia berkata bahawa aku akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia melarang aku minum wain atau minuman keras ataupun makan makanan haram, kerana katanya, anak itu akan ditahbiskan kepada Allah sebagai orang Nazir seumur hidupnya.”
8. Kemudian Manoah berdoa kepada TUHAN, “Ya TUHAN, semoga Engkau mengutus hamba-Mu itu datang lagi kepada kami, dan memberitahu kami apa yang mesti kami lakukan terhadap anak itu selepas dia lahir.”
9. Allah mengabulkan permohonan Manoah. Malaikat Allah itu datang lagi kepada isteri Manoah ketika dia di ladang. Pada masa itu Manoah tidak bersama-sama isterinya.
20-21. Sedang nyala api naik ke atas dari mazbah itu, Manoah dan isterinya nampak malaikat TUHAN menuju ke langit di dalam nyala api itu. Barulah Manoah sedar bahawa yang dilihatnya ialah malaikat TUHAN. Kemudian dia dan isterinya sujud menyembah. Mereka tidak pernah nampak malaikat itu lagi.
22. Manoah berkata kepada isterinya, “Kita pasti akan mati, kerana kita telah nampak Allah!”
23. Tetapi isterinya menjawab, “Jika TUHAN mahu membunuh kita, tentu Dia tidak mahu menerima korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur daripada kita. Dia juga tidak akan menunjukkan segala perkara ini kepada kita, ataupun memberitahunya kepada kita pada masa ini.”
24. Beberapa bulan kemudian, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dinamakannya Simson. Anak itu membesar dan TUHAN memberkati dia.