17. Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua.
18. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku.
19. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku.
20. Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu.
21. Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus.
22. Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik.
23. Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku.
24. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi.
25. Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik.
26. Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit.