15. Kemudian tibalah giliran Ester untuk menghadap raja. Ester ialah anak Abihail, dan sepupu Mordekhai, yang sudah memeliharanya seperti anaknya sendiri. Ester dikagumi oleh setiap orang yang melihatnya. Apabila gilirannya tiba, Ester berpakaian menurut petunjuk dan nasihat Hegai, sida-sida yang menjadi ketua istana wanita itu.
16. Demikianlah pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana.
17. Ester menyenangkan hati dan membahagiakan raja lebih daripada semua anak dara yang lain. Oleh itu dialah yang paling dicintai raja. Raja mengenakan mahkota kerajaan pada kepala Ester dan menjadikan dia permaisuri untuk menggantikan Wasti.