1. Dengarlah! Hikmat berseru-seru;kebijaksanaan memperdengarkan suara.
2. Hikmat berdiri di puncak bukit, di tepi jalan,dan juga di simpang jalan.
3. Di pintu masuk ke kota,di pintu gerbang, hikmat berseru,
4. “Hai umat manusia, aku merayu kepada kamu;setiap insan di bumi, perhatikanlah seruanku.
5. Kamu yang kurang matang, matangkan fikiranmu;kamu yang bebal, belajarlah supaya berakal.
6. Dengarlah kata-kataku,kerana semuanya tepat dan berguna.
7. Apa yang aku katakan, betul semuanya,kerana aku membenci dusta.
8. Segala yang aku katakan benar;tiada satu pun yang menyesatkan atau salah.
9. Bagi orang yang berpengertian, semuanya jelas;bagi orang yang berpengetahuan, semuanya terang.
10. Hargailah ajaranku lebih daripada perak;pentingkanlah pengetahuan lebih daripada emas tulen.
11. Akulah Hikmat. Aku lebih berharga daripada permata,dan aku tidak dapat dibandingkan dengan apa pun yang kamu idamkan.
12. Akulah Hikmat; aku mempunyai pengertian,pengetahuan, dan kebijaksanaan.
13. Menghormati TUHAN bererti membenci kejahatan;aku membenci kesombongan dan keangkuhan,tingkah laku jahat dan dusta.
14. Aku memberikan nasihat yang baik,dan pertimbangan yang bijak.Aku berpengetahuan dan aku kuat.
15. Aku membantu raja-raja menjalankan pemerintahan,dan aku menolong para penguasa menegakkan keadilan.
16. Setiap penguasa yang adil memerintah dengan pertolonganku,demikian juga negarawan dan bangsawan.
17. Aku mengasihi orang yang mengasihi aku,sesiapa yang sungguh-sungguh mencari aku akan menemukan aku.
18. Aku dapat memberi kamu kekayaan dan kehormatan,kemakmuran, dan kejayaan.
19. Apa yang kamu terima daripadaku lebih baik daripada emas tulen,lebih baik daripada perak murni.
20. Aku mengambil jalan kejujuran;aku mengikut jalan keadilan.