15. Bencilah kejahatan, cintailah kebaikan, dan tegakkanlah keadilan di mahkamah. Mungkin TUHAN akan mengasihani orang Israel yang masih hidup.
16. Oleh itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Di jalan-jalan kota, orang akan meratap dan menangis kerana sedih. Bahkan petani-petani pun akan dipanggil untuk ikut meratap bersama dengan orang yang diupah untuk meratapi orang mati.
17. Orang akan meratap di semua ladang anggur kerana Aku datang untuk menghukum kamu.” Demikianlah firman TUHAN.
18. Alangkah malangnya kamu yang menanti-nantikan Hari TUHAN! Apakah gunanya hari itu bagi kamu? Hari itu hanya merupakan hari yang gelap dan bukan hari yang terang bagi kamu.
19. Keadaannya seperti orang yang melarikan diri dari singa, lalu bertemu dengan beruang; atau seperti orang yang pulang ke rumah dan meletakkan tangannya pada tembok, lalu dipatuk ular!
20. Hari TUHAN itu akan membawa kegelapan dan bukan cahaya; hari itu akan suram, tanpa cahaya sama sekali.