7. Pada suatu masa, Elisa pergi ke Damsyik ketika raja negeri Siria sedang gering. Apabila raja diberitahu bahawa Elisa berada di sana,
8. raja bertitah kepada Hazael, salah seorang pegawainya, “Bawalah hadiah kepada nabi itu, dan suruh dia bertanya kepada TUHAN sama ada beta akan sembuh atau tidak.”
9. Oleh itu Hazael membawa segala macam hasil yang terbaik dari Damsyik dan memuatkan semua itu pada empat puluh ekor unta, lalu pergi bertemu dengan Elisa. Apabila Hazael berjumpa dengan Elisa, Hazael berkata, “Raja Benhadad, hamba tuan, menyuruh saya bertanya kepada tuan sama ada baginda akan sembuh daripada penyakitnya atau tidak.”
10. Elisa menjawab, “TUHAN telah berfirman kepada saya bahawa baginda akan mangkat. Tetapi katakan saja kepada baginda bahawa baginda akan sembuh.”
11. Kemudian Elisa menatap Hazael dengan pandangan yang tajam sehingga Hazael berasa gelisah. Tiba-tiba Elisa menangis.