2 Raja-Raja 13:4-17 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Selepas itu Raja Yehoahas berdoa kepada TUHAN, dan TUHAN tahu betapa kejamnya raja Siria menindas orang Israel. Kemudian TUHAN mengabulkan doa Raja Yehoahas.

5. TUHAN menghantar seorang pemimpin yang membebaskan Israel daripada penindasan orang Siria. Sejak itu Israel hidup dengan tenteram seperti sediakala.

6. Tetapi mereka masih belum bertaubat daripada dosa yang disebabkan oleh Raja Yerobeam. Mereka tidak berhenti berdosa, dan patung Dewi Asyera masih ada di Samaria.

7. Raja Yehoahas tidak lagi mempunyai angkatan perang kecuali lima puluh orang askar berkuda, sepuluh kereta kuda, dan sepuluh ribu orang askar berjalan kaki. Raja Siria telah memusnahkan angkatan perang Raja Yehoahas dan memijak-mijak mereka seperti debu.

8. Segala perbuatan Raja Yehoahas, termasuk keperkasaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

9. Raja Yehoahas mangkat dan dimakamkan di Samaria. Yehoas, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

10. Pada tahun ketiga puluh tujuh pemerintahan Raja Yoas di Yehuda, Raja Yehoas putera Raja Yehoahas menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama enam belas tahun.

11. Raja Yehoas juga berdosa terhadap TUHAN, dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

12. Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan menentang Raja Amazia dari Yehuda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

13. Raja Yehoas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Samaria, dan Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

14. Pada suatu masa, Elisa, nabi itu sakit tenat. Ketika Elisa hampir meninggal, Raja Yehoas, raja Israel datang menziarahi dia. Sambil menangis Raja Yehoas berkata, “Bapaku, bapaku! Bapalah pembela Israel yang perkasa!”

15. Elisa berkata kepadanya, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun mengambilnya.

16. Elisa menyuruh Raja Yehoas bersiap untuk memanah, lalu baginda bersiap. Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja.

17. Kemudian, dengan perintah nabi itu, Raja Yehoas membuka tingkap yang menghadap negeri Siria. Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Sebaik sahaja raja melepaskan anak panah, nabi itu berkata, “Tuanku ialah anak panah TUHAN. Dengan perantaraan tuanku, TUHAN akan mengalahkan negeri Siria. Tuanku akan berperang melawan orang Siria di Afek sehingga tuanku mengalahkan mereka.”

2 Raja-Raja 13