1 Raja-Raja 20:26-32 Alkitab Berita Baik (BM)

26. Pada musim bunga berikutnya, Raja Benhadad mengerah tenteranya dan maju bersama dengan mereka ke Afek untuk menyerang Israel.

27. Tentera Israel juga dikerah dan dilengkapi senjata. Mereka maju, lalu berkhemah dalam dua pasukan yang bertentangan dengan orang Siria. Tentera Israel nampaknya kecil, hanya seperti dua kawanan kambing jika dibandingkan dengan tentera Siria yang membanjiri kawasan itu.

28. Seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN: ‘Oleh sebab orang Siria mengatakan bahawa Aku hanya berkuasa di gunung dan tidak berkuasa di tanah rata, Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap tentera mereka yang besar sekali bilangannya. Engkau dan rakyatmu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”

29. Selama tujuh hari tentera Siria dan tentera Israel tinggal di perkhemahan mereka, berhadapan dengan satu sama lain. Pada hari ketujuh, mereka mula berperang dan tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria.

30. Askar yang terlepas dari situ lari ke kota Afek, dan di kota itu seramai 27,000 orang lagi ditimpa tembok kota itu.Raja Benhadad juga lari ke dalam kota itu dan berlindung di bilik belakang sebuah rumah.

31. Para pegawai Raja Benhadad menghadapnya dan berkata, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba semua menghadap raja Israel dengan memakai kain guni pada pinggang kami sebagai tanda penyesalan, dan tali pada leher kami sebagai tanda takluk. Semoga raja itu menyelamatkan nyawa tuanku.”

32. Oleh itu mereka memakai kain guni pada pinggang dan tali pada leher mereka lalu menghadap Raja Ahab. Mereka berkata, “Hamba tuanku, Raja Benhadad memohon supaya tuanku menyelamatkan nyawanya.”Raja Ahab bertitah, “Adakah baginda masih hidup? Baiklah! Baginda seolah-olah saudara beta sendiri!”

1 Raja-Raja 20