1 Raja-Raja 1:10-30 Alkitab Berita Baik (BM)

10. tetapi dia tidak menjemput Salomo adik tirinya, Nabi Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja.

11. Kemudian Nabi Natan pergi berjumpa dengan Batsyeba, ibu Salomo, dan bertanya kepadanya, “Belumkah permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit, telah mengangkat dirinya sendiri sebagai raja? Tetapi Raja Daud tidak tahu tentang hal itu!

12. Jika permaisuri hendak menyelamatkan nyawa permaisuri sendiri dan nyawa Salomo, putera permaisuri, dengarlah nasihat hamba.

13. Pergilah dengan segera kepada Raja Daud, dan tanyalah kepada baginda, ‘Bukankah tuanku telah berjanji bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja? Mengapakah sekarang Adonia pula yang menjadi raja?’ ”

14. Nabi Natan berkata lagi, “Sedang permaisuri bercakap dengan Raja Daud nanti, hamba akan datang dan mengesahkan kata-kata permaisuri.”

15. Oleh itu Batsyeba menghadap raja di bilik tidurnya. Raja sudah sangat tua dan Abisag, gadis dari Sunem itu sedang menjaga baginda.

16. Batsyeba bersujud di hadapan raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Apakah hajatmu?”

17. Batsyeba menjawab, “Tuanku telah berjanji demi TUHAN, Allah tuanku, bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja.

18. Tetapi sekarang Adonia sudah menjadi raja, dan tuanku tidak tahu tentang hal itu.

19. Dia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba, dan anak lembu yang gemuk sebagai korban, serta menjemput putera-putera tuanku, Imam Abyatar, dan Yoab, panglima tentera tuanku, ke jamuan itu, tetapi Adonia tidak menjemput Salomo, putera tuanku.

20. Sekarang segenap rakyat sedang menanti-nantikan titah tuanku tentang siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja.

21. Jika tuanku tidak memberikan keputusan itu, tentu segera sesudah tuanku mangkat, Salomo, putera hamba dan hamba akan dituduh sebagai pengkhianat.”

22. Sedang Batsyeba bercakap, Nabi Natan tiba di istana.

23. Raja Daud diberitahu tentang kedatangan Nabi Natan, lalu Nabi Natan masuk dan bersujud di hadapan raja.

24. Nabi Natan berkata kepada raja, “Adakah tuanku telah bertitah bahawa Adonia akan menggantikan tuanku sebagai raja?

25. Pada hari ini Adonia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba dan anak lembu yang digemukkan sebagai korban. Dia menjemput semua putera tuanku, Yoab panglima tentera tuanku, dan Imam Abyatar. Pada masa ini mereka sedang berpesta bersama-sama Adonia sambil bersorak, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’

26. Tetapi Adonia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, dan Salomo.

27. Adakah tuanku yang memperkenankan Adonia melakukan semua itu tanpa memberitahu para pegawai tuanku siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja?”

28. Raja Daud bertitah, “Suruhlah Batsyeba masuk dan menghadap semula.” Batsyeba masuk dan berdiri di hadapan raja.

29. Raja bertitah kepadanya, “Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala kesusahan,

30. bahawa pada hari ini beta akan menepati janji beta kepadamu demi nama TUHAN, Allah Israel, bahawa puteramu Salomo akan menggantikan beta sebagai raja.”

1 Raja-Raja 1