Yudit 12:3-13 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. “Tapi bagaimana kalau persediaanmu habis?” tanya Holofernes. “Ke mana kami mencari makanan bagimu? Di perkhemahan ini tak ada orang Israel.”

4. Jawab Yudit, “Saya bersumpah demi nyawa tuan, bahawa persediaan makanan saya ini tak akan habis sebelum Allah menggunakan saya untuk melaksanakan rancangan-Nya.”

5. Lalu pembantu-pembantu Holofernes menghantarkan Yudit ke sebuah khemah. Dia tidur di situ, dan ketika hari masih malam dia bangun.

6. Dia mengirim pesan kepada Holofernes supaya diizinkan pergi ke lembah untuk berdoa.

7. Holofernes memerintahkan pengawal peribadinya untuk membolehkan Yudit pergi. Tiga hari lamanya Yudit tinggal di perkhemahan itu dan setiap malam dia pergi ke lembah dekat tempat penjagaan Betulia untuk mandi di mata air.

8. Sesudah mandi dia berdoa kepada Tuhan Allah supaya dibimbing dalam rancangannya demi kejayaan umat-Nya.

9. Sesudah melakukan upacara pembersihan, Yudit kembali ke perkhemahan dan tinggal di khemahnya sehingga sesudah makan malam.

10. Pada hari yang keempat Holofernes mengadakan jamuan untuk para hambanya sahaja. Perwira-perwira yang sedang bertugas tidak diundangnya.

11. Kata Holofernes kepada Bagoas, pegawai yang mengurus semua keperluan peribadinya, “Pergilah mengajak wanita Ibrani yang kaulayani itu supaya datang ke khemahku untuk makan dan minum bersama-sama kami.

12. Sungguh memalukan untuk melewatkan kesempatan bermain cinta dengan wanita semacam itu. Kalau aku tak berhasil merayunya, nescaya aku akan ditertawakan.”

13. Lalu Bagoas meninggalkan Holofernes dan datang kepada Yudit. “Wanita manis,” katanya, “sudilah segera datang ke khemah panglima tinggi untuk minum-minum dan bersenang-senang seperti wanita-wanita Asyur yang tinggal di istana Raja Nebukadnezar. Ini suatu kehormatan besar.”

Yudit 12