Yesaya 58:1-6 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. TUHAN berfirman, “Berteriaklah dengan sekuat-kuatnya! Beritahulah umat-Ku, orang Israel tentang dosa mereka!

2. Mereka menyembah Aku setiap hari dan mengaku bahawa mereka berhasrat mengenal Aku serta mematuhi hukum-Ku. Mereka berkata bahawa mereka mahu Aku memberi mereka hukum yang adil, dan bahawa mereka suka menyembah Aku.”

3. Umat itu bertanya, “Apa gunanya kita berpuasa jika TUHAN tidak melihatnya? Mengapakah kita harus menahan diri daripada makanan jika Dia tidak memperhatikannya?”TUHAN berfirman kepada mereka, “Ketika kamu berpuasa, kamu mementingkan hal sendiri dan menindas pekerja-pekerja kamu.

4. Puasa kamu menyebabkan kamu ganas; kamu bergaduh dan bertengkar. Jangan sangka puasa seperti itu akan menggerakkan hati-Ku untuk mendengarkan doa-doa kamu.

5. Apabila berpuasa, kamu menyeksa diri. Kamu menundukkan kepala seperti daun rumput yang runduk. Kamu berbaring di atas kain guni dan abu. Itukah yang kamu sebut puasa? Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan perbuatan kamu itu?

6. Inilah puasa yang Aku kehendaki: tanggalkan belenggu penindasan dan beban ketidakadilan, serta bebaskan orang yang tertindas.

Yesaya 58