28. Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka.
29. Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia.
30. Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar.
31. Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru.
32. Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas.
33. Tidak lama lagi musuh akan mengalahkan mereka dan memijak-mijak mereka seperti orang memijak-mijak gandum di tempat mengirik gandum. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman.”