Sirakh 35:3-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Orang yang menjauhi dosa menyenangkan hati Tuhan, dan orang yang menolak kejahatan diampunkan dosa mereka.

4. Tetapi janganlah pergi ke Rumah Tuhan dengan tangan kosong, oleh sebab hukum mewajibkan kita membawa persembahan.

5. Kalau seorang jujur mempersembahkan korban, lemak daripada korbannya meleleh di atas mazbah dan bau harumnya naik ke hadirat Yang Maha Tinggi.

6. Tuhan berkenan kepada korban daripada orang jujur dan tidak melupakannya.

7. Pujilah Tuhan dengan murah hati, dan jangan kikir waktu mempersembahkan bahagian pertama hasil tanahmu.

8. Bawalah setiap persembahanmu dengan muka yang gembira dan serahkanlah korban persepuluhanmu dengan hati yang riang.

9. Berilah Yang Maha Tinggi pemberian yang sepadan dengan pemberian-Nya kepadamu; berikanlah pemberian dengan murah hati dan menurut kemampuanmu.

10. Berbuatlah demikian oleh sebab Tuhanlah yang memberi ganjaran; Dia akan membalas engkau sampai tujuh kali ganda.

11. Jangan cuba menyuap Tuhan, oleh sebab Dia tidak akan menerimanya. Jangan pula bersandar kepada persembahan yang tidak halal,

12. kerana Tuhan itu hakim, dan Dia tidak berat sebelah.

13. Dia tidak berat sebelah dalam perkara orang miskin, tetapi mendengar doa orang yang diperlakukan dengan tidak adil.

14. Dia tidak mengabaikan doa yatim piatu atau balu yang mencurahkan isi hati.

15. Air mata meleleh di pipi seorang balu yang berteriak mempersalahkan orang yang membuat dia menangis.

16. Tuhan memperkenankan orang yang berkhidmat kepada-Nya dan doa mereka naik sampai ke langit.

17. Doa orang miskin menembus awan, dan mereka tidak terhibur sebelum doa mereka sampai kepada Tuhan.

18. Mereka tidak berhenti sehingga Yang Maha Tinggi memperhatikan mereka dengan menjalankan keadilan serta membela yang benar.

19. Tuhan akan bertindak dengan cepat; Dia tidak akan bersabar dengan orang jahat.

Sirakh 35