16. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?”
17. Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat.
18. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”
19. Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!”