42. Ketika anak itu menghampiri Yesus, roh jahat membanting anak itu ke tanah lalu tubuhnya berkejang-kejang. Yesus mengusir roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kembali kepada bapanya.
43. Semua orang hairan melihat kuasa Allah yang begitu besar!Sementara mereka masih terhairan-hairan tentang segala perkara yang dilakukan-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
44. “Janganlah lupa akan apa yang Aku katakan ini: Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.”
45. Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak memahami maksud kata-kata itu. Allah merahsiakan hal itu daripada mereka sehingga mereka tidak dapat memahaminya. Tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus tentang perkara itu.
46. Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar.
47. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisi-Nya.
48. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!”