28. Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu!
29. Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum.
30. (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
31. Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.”
32. “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya.
33. Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya.
34. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu.”
35. “Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala.
36. Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu.
37. Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka.
38. Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malam atau lebih lambat lagi!