Keluaran 29:24-33 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

24. Letakkan semua roti ini di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu suruh mereka mempersembahkan semuanya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.

25. Kemudian ambillah semua roti itu daripada mereka dan bakarlah di atas mazbah, di atas korban untuk menyenangkan hati-Ku, sebagai persembahan makanan.

26. Ambillah dada domba jantan itu dan persembahkannya kepada-Ku sebagai persembahan istimewa. Dada domba jantan itu untukmu.

27. Apabila seorang imam ditahbiskan, dada dan paha domba jantan yang digunakan untuk upacara pentahbisan itu harus dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa, lalu diasingkan untuk para imam.

28. Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN.

29. Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan.

30. Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari.

31. Ambillah daging domba jantan yang digunakan untuk pentahbisan Harun dan anak-anaknya, lalu rebuslah daging itu di tempat yang suci.

32. Harun dan anak-anaknya mesti makan daging domba itu serta sisa roti di dalam bakul, di pintu masuk Khemah hadirat-Ku.

33. Mereka mesti makan apa yang digunakan dalam upacara pengampunan dosa pada masa pentahbisan mereka. Hanya imam yang boleh makan makanan itu kerana makanan itu suci.

Keluaran 29