22. Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu.
23. Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.”
24. Musa mengikut nasihat Yitro.
25. Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang.
26. Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil.
27. Kemudian Musa mengucapkan selamat jalan kepada Yitro, lalu Yitro pulang ke negerinya.