Keluaran 12:19-20-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. “Bulan ini menjadi bulan pertama bagi tahun kalendar kamu.

3. Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel: Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang lelaki mesti memilih seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk dimakan bersama-sama keluarganya.

4. Jika keluarganya terlalu kecil untuk menghabiskan seekor binatang, maka keluarga itu boleh makan binatang itu bersama-sama jiran mereka yang terdekat. Binatang itu harus dibahagi menurut jumlah orang yang makan.

5. Kamu boleh memilih seekor domba ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada cacat.

6. Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari keempat belas bulan itu. Pada sebelah petang hari itu, segenap umat Israel akan menyembelih binatang-binatang itu.

7. Mereka mesti mengambil sedikit darah binatang itu dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu.

8. Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi.

9. Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus.

19-20. Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.”

21. Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska.

22. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi.

23. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu.

24. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya.

25. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini.

26. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’

27. Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ”Kemudian orang Israel bersujud menyembah.

28. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun.

29. Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh.

30. Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki.

31. Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta.

32. Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.”

Keluaran 12