Kebijaksanaan Salomo 8:8-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Orang yang menginginkan pengalaman yang banyak dapat memperolehnya, oleh sebab kebijaksanaan tahu akan yang dahulu dan menduga yang akan datang, mentafsirkan perkataan orang dan memecahkan persoalan, mengetahui keajaiban-keajaiban yang akan dilakukan Allah, dan bagaimana sejarah akan berkembang.

9. Oleh itu aku memutuskan untuk menjadikannya teman hidupku, kerana aku tahu bahawa kebijaksanaan akan menasihati dan menghibur aku dalam kesengsaraan dan kesusahan.

10. Berkat kebijaksanaan, aku akan dihormati oleh rakyat dan dihargai di kalangan orang tua-tua walaupun aku masih muda.

11. Akan nyata betapa tajamnya fikiranku dalam memberikan keputusan, dan aku akan dikagumi oleh para pembesar.

12. Kalau aku diam, mereka akan menunggu; kalau aku bercakap, mereka akan mendengarkannya. Bahkan kalau aku bercakap berkepanjangan, mereka akan mendengarkannya dengan kagum.

13. Kerana berkat kebijaksanaan, aku akan mendapat kehidupan kekal; aku akan diingat selama-lamanya oleh mereka yang menyusul aku.

14. Aku akan memerintah bangsa-bangsa, dan mereka akan takluk kepadaku.

15. Penindas-penindas yang menakutkan akan gementar apabila mendengar perihal aku. Aku akan terkenal sebagai raja yang baik dan pejuang yang gagah berani.

Kebijaksanaan Salomo 8