Kebijaksanaan Salomo 5:13-23 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Demikianlah halnya kita ini; baru lahir, kita sudah lenyap. Tidak ada kesan kebajikan yang kita tinggalkan; kita telah dibinasakan oleh kejahatan kita sendiri.”

14. Harapan orang jahat seperti sekam yang diterbangkan angin, seperti buih air laut yang hilang dalam badai. Harapan itu seperti asap yang dicerai-beraikan angin atau seperti kenangan akan tamu yang datang sehari sahaja.

15. Sebaliknya orang jujur hidup selama-lamanya. Mereka dilindungi Tuhan dan menerima pahala daripada Yang Maha Tinggi.

16. Mereka akan diagungkan seperti raja dan diberi mahkota yang sangat indah. Tuhan akan membela dan melindungi mereka dengan tangan-Nya yang kuat.

17. Dia akan memakai tekad-Nya sebagai perlengkapan perang. Seluruh ciptaan-Nya dikerahkan-Nya sebagai senjata untuk mengalahkan musuh.

18. Keadilan akan menjadi baju zirah-Nya dan keputusan yang jujur menjadi topi besi-Nya.

19. Kesucian adalah perisai-Nya yang tidak dapat dikalahkan,

20. dan kemurkaan-Nya yang kejam dijadikan pedang-Nya yang terasah. Semua kekuatan alam dikerahkan-Nya melawan orang bodoh yang menentang Dia.

21. Kilat akan menyambar dan tepat menuju sasarannya, seolah-olah Tuhan sedang menembak panah dengan awan sebagai busur-Nya.

22. Dengan murka, Tuhan melemparkan hujan batu kepada orang jahat; laut dan sungai-sungai mengamuk membanjiri mereka.

23. Mereka akan dilanda taufan dan badai dan dicerai-beraikan. Kejahatan akan membinasakan seluruh bumi dan banyak pemerintahan akan jatuh kerana perbuatan jahat.

Kebijaksanaan Salomo 5