Kebijaksanaan Salomo 14:8-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Tetapi Engkau mengutuk patung berhala buatan manusia, kerana benda yang fana itu disebut Allah. Engkau juga mengutuk orang yang membuatnya kerana pekerjaannya itu.

9. Seorang jahat dan hasil kejahatannya sama-sama dibenci Allah,

10. dan Dia akan menghukum orang itu mahupun barang buatannya.

11. Oleh itu berhala-berhala bangsa lain juga kena hukuman Allah, oleh sebab di tengah ciptaan Allah berhala-berhala menjadi benda keji, batu sandungan untuk manusia dan perangkap bagi orang bodoh.

12. Dengan penemuan berhala mulailah pencabulan, dan sejak itu juga rosaklah kehidupan manusia.

13. Berhala itu tidak wujud pada permulaannya, dan tidak akan wujud untuk selama-lamanya.

14. Berhala muncul di dunia kerana angan-angan manusia, maka itulah sebabnya kesudahannya yang segera telah dirancang.

15. Ada seorang bapa yang ditimpa kesedihan besar kerana kematian anaknya. Maka dibuatnya patung menyerupai anaknya yang meninggal sebelum waktunya. Manusia yang tadinya mayat, dihormatinya sebagai tuhan dan orang bawahannya diperintahkan supaya mengadakan kebaktian dan upacara.

16. Lama kelamaan kebiasaan jahat itu semakin kuat dan dijadikan undang-undang. Dengan perintah para penguasa, patung-patung pahatan disembah.

17. Orang yang tinggal jauh dari raja dan tidak dapat menghormati baginda secara langsung, membayangkan rupa raja yang dihormati oleh mereka, lalu membuat gambaran yang nyata. Dengan demikian mereka dapat dengan rajin merayu baginda, seolah-olah baginda hadir antara mereka.

18. Seniman yang gila hormat menggalakkan dan mengembangkan pemujaan itu bahkan antara orang yang tidak mengenal raja itu.

Kebijaksanaan Salomo 14