Kebijaksanaan Salomo 12:12-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Engkaulah yang mencipta bangsa-bangsa jahat itu. Jika Engkau membinasakan mereka, tidak ada yang sanggup mendakwa Engkau dan membela mereka. Tidak ada yang sanggup menanyai Engkau atau menentang keputusan-Mu.

13. Engkaulah yang memelihara segala sesuatu. Hanya Engkaulah Allah, dan tidak ada yang lain. Jadi Engkau tidak perlu mempertanggungjawabkan keputusan-Mu kepada sesiapa pun.

14. Tidak ada raja atau penguasa di dunia yang dapat mempersalahkan Engkau kerana menghukum bangsa-bangsa itu.

15. Oleh sebab Engkau adil, maka segala sesuatu Kauperintah dengan adil. Engkau tidak pernah menggunakan kekuasaan-Mu untuk menghukum orang yang tidak seharusnya dihukum,

16. kerana kekuatan-Mu ialah sumber keadilan-Mu. Kerana Engkau memerintah segala sesuatu, maka Engkau menunjukkan belas kasihan-Mu kepada semuanya.

17. Engkau menunjukkan kekuatan-Mu apabila orang meragukan kekuasaan-Mu yang sempurna. Engkau menghukum orang yang mengetahui kekuasaan-Mu, tetapi terlalu sombong untuk mengakuinya.

18. Tetapi Engkau Yang Maha Kuat mengadilinya dengan penuh belas kasihan. Engkau membimbing kami dengan penuh kesabaran kerana Engkau berkuasa untuk bertindak bila-bila sahaja Engkau mahu.

19. Dengan berbuat demikian, Engkau mengajar umat-Mu bahawa orang yang adil harus juga murah hati. Engkau memberi umat-Mu harapan yang baik dengan memungkinkan mereka bertaubat daripada dosa-dosa mereka.

20. Engkau berhati-hati dan sabar apabila menghukum musuh-musuh umat-Mu. Bahkan kalau mereka patut dihukum mati, Engkau memberi mereka waktu dan kesempatan untuk meninggalkan kejahatan mereka.

21. Betapa berhati-hatinya Engkau mengadili umat-Mu kerana Engkau telah membuat perjanjian dengan nenek moyang mereka, dan berjanji dengan sumpah akan memberi mereka hal-hal yang baik.

22. Memang Engkau menghukum kami, tetapi tidak seberat Engkau menghukum musuh-musuh kami. Dengan demikian kami dapat mengingat kebaikan-Mu pada waktu kami mengadili orang lain, dan boleh mengharapkan belas kasihan pada waktu kami sendiri diadili.

Kebijaksanaan Salomo 12