Hosea 9:8-14 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Allah telah mengutus aku sebagai nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya Israel. Namun ke mana sahaja aku pergi, kamu berusaha untuk memerangkap aku seperti memerangkap burung. Di negeri milik Allah sendiri, nabi-nabi-Nya dimusuhi rakyat.

9. Perbuatan kamu sangat jahat, seperti yang pernah dilakukan orang di Gibea. TUHAN akan mengingat dosa kamu dan menghukum kamu.

10. TUHAN berfirman, “Ketika Aku mula-mula menemukan Israel, Aku gembira seperti orang menemukan buah anggur di padang gurun. Apabila Aku mula-mula nampak nenek moyang kamu, Aku senang hati seperti orang nampak buah ara yang mula-mula masak pada musim buah. Tetapi apabila mereka sampai di Gunung Peor, mereka mula menyembah Baal, sehingga mereka menjijikkan seperti berhala-berhala yang dicintai mereka.

11. Kebesaran Israel akan terbang menghilang seperti burung. Mereka tidak akan mendapat anak lagi. Wanita mereka pun tidak akan mengandung lagi.

12. Sekalipun anak-anak dilahirkan dan dibesarkan, Aku akan mengambil anak-anak mereka itu dan tidak seorang pun akan hidup. Apabila Aku meninggalkan kamu, perkara-perkara yang dahsyat akan menimpa kamu.”

13. Ya TUHAN, aku nampak anak-anak mereka diburu dan dibunuh.

14. Apakah yang harus aku minta daripada-Mu untuk umat ini? Jadikanlah wanita mereka mandul! Biarlah mereka tidak dapat menyusui bayi.

Hosea 9