6. Memang Tuhan, Allah kami adil, tetapi kami dan nenek moyang kami mendapat malu sehingga hari ini.
7. Tuhan telah menghukum kami sesuai dengan ancaman-Nya.
8. Walaupun begitu kami belum juga berbalik kepada Tuhan dan belum meninggalkan fikiran-fikiran kami yang jahat.
9. Tuhan adil dalam segala sesuatu yang diperintahkan-Nya kepada kami. Oleh itu Dia telah mendatangkan bencana-bencana yang disediakan-Nya bagi kami.
10. Walaupun begitu kami belum juga mendengar suara-Nya dan tidak hidup menurut perintah yang diberikan-Nya kepada kami.”
11. ‘Ya Tuhan, Engkau Allah Israel yang telah membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tanda-tanda, mukjizat, dan kuasa yang besar, sehingga Engkau menjadi termasyhur sehingga hari ini.
12. Ya Tuhan, Allah kami, kami telah berdosa dan berbuat jahat. Kami tidak setia dan telah melanggar perintah-perintah-Mu.
13. Jangan murka lagi kepada kami, oleh sebab jumlah kami tinggal sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa kerana Engkau mencerai-beraikan kami.
14. Dengarlah doa permohonan kami, ya Tuhan, dan bebaskanlah kami demi kehormatan-Mu sendiri. Bertindaklah supaya kami dikasihani oleh orang yang telah membuang kami.
15. Maka seluruh dunia akan tahu bahawa Engkau Tuhan, Allah kami, kerana Engkau telah memilih keturunan Yakub menjadi umat-Mu sendiri.
16. Ya Tuhan, pandanglah kami dari kediaman-Mu yang suci; ingatlah akan kami dan dengarlah doa kami.