2 Makabe 9:13-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Orang yang keji itu kemudian membuat janji kepada Tuhan yang tidak akan melepaskan baginda lagi.

14. Raja Antiokhus bertitah, “Dahulu beta bergegas-gegas ke Yerusalem untuk meratakannya dengan tanah dan membuatnya menjadi kubur orang Yahudi. Tetapi sekarang beta isytiharkan kota itu merdeka.

15. Beta bermaksud membuang mayat-mayat orang Yahudi dan anak-anak mereka untuk makanan binatang buas dan burung-burung, oleh sebab beta anggap mereka tidak layak untuk dikubur. Tetapi sekarang beta akan memberikan mereka hak-hak istimewa seperti penduduk kota Atena.

16. Dahulu beta merampas Rumah Allah, tetapi sekarang beta mahu melengkapinya dengan hadiah yang indah-indah dan mengembalikan perabot-perabot lebih banyak dari yang dahulu. Semua korban akan beta biayai daripada pendapatan beta sendiri.

17. Selain itu beta mahu masuk agama Yahudi dan menjelajah semua tempat yang didiami orang untuk memberitakan kekuasaan Allah.”

18. Raja Antiokhus berasa putus asa. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mengurangkan kesakitan baginda, kerana Allah sedang menghukum baginda dengan hukuman yang setimpal dengan kejahatan baginda. Maka baginda menulis sepucuk surat kepada orang Yahudi. Kandungan surat itu sebagai berikut:

19. “Daripada Raja dan Panglima Antiokhus kepada orang Yahudi, rakyat beta yang setia, selamat sejahtera.

20. Beta berharap kamu dan keluarga kamu sihat walafiat dan segalanya baik seperti yang kamu inginkan. Harapan beta adalah pada Allah.

21. Beta teringat dengan rasa gembira akan kehormatan dan keramahan yang ditunjuk terhadap beta oleh kamu sekalian.Dalam perjalanan pulang dari Persia, beta gering tenat, maka beta anggap perlu memikirkan kesejahteraan seluruh rakyat.

2 Makabe 9