1. Kira-kira pada waktu itu, Raja Antiokhus dengan tenteranya telah berundur dari Persia dalam keadaan kacau-bilau.
2. Sebelum waktu itu baginda telah memasuki kota Persepolis dan berusaha untuk merampas kuil serta menguasai kota itu. Tetapi penduduk daerah itu dengan segeranya mengangkat senjata dan mengusir Raja Antiokhus, sehingga baginda terpaksa berundur dengan malu.
3. Ketika raja sampai di kota Ekbatana, baginda diberitahu apa yang telah terjadi kepada pasukan Nikanor dan Timotius.
4. Baginda menjadi murka sekali dan memutuskan untuk membalas orang Yahudi dengan kejahatan orang Persia yang telah mengusir baginda. Baginda menyuruh pengemudi membawa kereta kuda baginda dengan tidak berhenti, terus-menerus sampai ke Yerusalem. Dengan sombong baginda berkata, “Setiba di Yerusalem, kota itu akan beta jadikan kubur orang Yahudi.”Tetapi baginda tidak tahu bahawa Allah sudah memutuskan untuk menghukum baginda.
5. Sebaik sahaja baginda mengucapkan kata-kata itu, Tuhan yang melihat segala-galanya, iaitu Allah Israel, menimpa baginda dengan penyakit yang tidak kelihatan dan tidak dapat disembuhkan. Baginda dihinggapi sakit perut yang teruk dan tidak dapat diubati.
6. Itulah hukuman yang adil bagi orang yang telah menyeksa orang lain dengan bermacam-macam cara yang mengerikan.
7. Tetapi hal itu sedikit pun tidak mengurangkan kesombongan baginda. Malah baginda bertambah bongkak dan melontarkan kemurkaan baginda terhadap orang Yahudi. Baginda memerintahkan supaya kereta kuda dicepatkan lagi jalannya. Akibatnya baginda jatuh terpelanting dari kereta kuda yang sedang berjalan cepat dan terhantuk dengan keras sekali sehingga seluruh tubuh baginda sakit teruk.