14. Maka pada hari yang ditetapkannya, dia masuk ke dalam Rumah Tuhan untuk mengawasi penghitungan wang itu. Hal itu menimbulkan kecemasan besar di seluruh kota.
15. Imam-imam dengan pakaian ibadat meniarap di hadapan mazbah. Mereka memohon kepada Allah supaya Dia menjaga harta di dalam Rumah-Nya, oleh sebab Dia sendiri telah menetapkan undang-undang untuk melindungi harta yang disimpan di dalam Rumah Tuhan.
16. Setiap orang yang melihat Imam Agung berasa pilu. Mukanya yang pucat menampakkan kesengsaraannya.
17. Badannya gementar ketakutan membayangkan penderitaan batinnya.
18. Rakyat berduyun-duyun meninggalkan rumah mereka hendak berdoa bersama-sama supaya Rumah Tuhan tidak dicemarkan.
19. Jalan-jalan dibanjiri oleh orang perempuan yang memakai kain guni pada pinggang sebagai tanda kesedihan. Antara gadis-gadis yang dipingit ada yang lari ke pintu rumah, ada yang berdiri di atas pagar dan ada pula yang menjenguk dari jendela.
20. Mereka semua mengangkat tangan untuk berdoa kepada Allah.
21. Sungguh memilukan melihat Imam Agung yang menanti-nanti dalam keadaan takut serta cemas, dan semua penduduk kota kebingungan sambil meniarap di tanah.
22. Sementara semua orang memohon kepada Tuhan Yang Maha Kuasa supaya menjaga harta itu agar tetap utuh dan aman bagi mereka yang mempercayai-Nya,
23. Heliodorus terus menjalankan rancangannya.
24. Tetapi pada saat dia dan para pengawalnya tiba di ruang perbendaharaan, Tuhan segala roh dan segala kuasa mendatangkan penglihatan yang amat dahsyat, sehingga semua orang yang berani datang ke situ bersama-sama Heliodorus terkejut melihat kekuasaan Allah dan tidak berdaya kerana ketakutan.
25. Dalam penglihatan itu mereka melihat seekor kuda dan penunggangnya. Kuda itu dilengkapi dengan pakaian kuda yang sangat indah. Penunggangnya berbaju zirah emas dan sangat menakutkan. Tiba-tiba kuda itu menyerbu Heliodorus dan menyepaknya dengan kaki depannya.
26. Heliodorus juga melihat dua orang pemuda yang luar biasa kuatnya dan tampan. Pakaian mereka serba indah dan gemerlapan. Mereka berdiri di kiri kanannya dan memukulnya dengan tidak henti-hentinya.
27. Tiba-tiba Heliodorus pengsan dan jatuh ke tanah. Para pengawalnya membaringkan dia di atas sebuah usungan
28. dan membawa dia keluar. Orang ini hanya sebentar tadi masuk ke ruang perbendaharaan disertai banyak pengiring dan semua pengawal peribadinya, sekarang diusung keluar dalam keadaan tidak berdaya. Lalu mereka dengan terang-terangan mengakui kekuasaan Allah.
29. Sesudah tertimpa kekuasaan Allah, Heliodorus tertelentang sahaja. Dia tidak dapat bercakap dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
30. Sementara itu orang Yahudi memuji Tuhan kerana Dia telah menjaga kehormatan Rumah-Nya dengan cara yang ajaib. Rumah Tuhan yang tadinya diliputi suasana ketakutan dan kebingungan, sekarang penuh kegembiraan dan sukacita kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri.