2 Makabe 14:21-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Lalu ditetapkan suatu hari untuk kedua-dua orang panglima sahaja bertemu. Masing-masing dibawa dengan tandu dan mengambil tempat di kerusi kehormatan yang disediakan.

22. Tetapi Yudas menempatkan beberapa orang bersenjata yang bersiap sedia di beberapa buah tempat yang baik untuk menjaga kemungkinan kalau-kalau musuh dengan tiba-tiba berkhianat. Lalu kedua-dua orang pemimpin itu mengadakan mesyuarat yang berjalan dengan baik.

23. Sesudah perundingan itu, Nikanor tinggal di Yerusalem untuk beberapa lama dan tidak melakukan apa-apa yang buruk. Bahkan orang ramai yang berduyun-duyun bergabung dengan dia disuruhnya pulang.

24. Nikanor selalu memperhatikan Yudas dan menyenangi dia dengan setulus hati.

25. Dia menasihati Yudas supaya berkahwin dan mendirikan rumah tangga. Yudas mengikuti nasihat itu dan menikmati hidup yang tenteram.

26. Alkimus melihat bahawa Nikanor sangat rukun dengan Yudas. Maka dia mengambil sebuah salinan daripada surat perjanjian itu dan pergi menghadap Raja Demetrius. Dia menyampaikan kepada raja bahawa Nikanor tidak setia kepada pemerintah kerana telah melantik Yudas, pengkhianat negara, menjadi penggantinya.

27. Tuduhan-tuduhan palsu itu membuat raja murka. Dalam kemurkaannya, raja menulis kepada Nikanor bahawa baginda tidak puas hati dengan perjanjian itu. Nikanor diperintahkan untuk menangkap Yudas Makabe dan mengirimnya dengan segera ke Antiokhia.

28. Pesan itu membuat Nikanor bingung. Dia tidak sampai hati untuk membatalkan perjanjian itu kerana Yudas tidak berbuat apa-apa yang salah.

29. Oleh sebab tidak boleh mengingkar perintah raja, dia mencari kesempatan untuk menangkap Yudas dengan siasat.

30. Tetapi Yudas melihat bahawa Nikanor mula bersikap dingin terhadapnya dan mendekati dia dengan lebih kasar daripada biasa. Yudas tahu bahawa itu tanda yang buruk. Maka dia mengumpulkan sejumlah besar pengikutnya lalu bersembunyi daripada Nikanor.

31. Apabila Nikanor menyedari bahawa dia telah diperdaya oleh Yudas, dia pergi ke Rumah Tuhan yang agung pada saat imam-imam sedang mempersembahkan korban. Dia memerintahkan para imam untuk menyerahkan Yudas kepadanya.

32. Tetapi imam-imam itu dengan sumpah menyatakan bahawa mereka tidak tahu di mana dia.

2 Makabe 14