2 Makabe 12:10-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Ketika Yudas dan anak buahnya sudah sejauh dua kilometer dari Yamnia untuk maju berperang melawan Timotius, mereka diserang oleh tentera Arab yang berjumlah tidak kurang daripada 5,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 500 orang pasukan tentera berkuda.

11. Mereka bertempur dengan sengit, tetapi anak buah Yudas dengan pertolongan Allah dapat mengalahkan penduduk padang gurun itu. Lalu orang di situ minta berdamai dengan orang Yahudi. Mereka berjanji akan memberikan ternakan dan menolong orang Yahudi bila-bila perlu.

12. Yudas berpendapat bahawa persahabatan itu akan berguna dalam banyak hal. Maka dia bersetuju untuk berdamai dengan mereka. Sesudah itu orang Arab kembali ke khemah-khemah mereka.

13. Yudas juga menyerbu kota Kaspin yang dikelilingi tembok dan sangat kuat pertahanannya. Penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai bangsa asing.

14. Dengan mempercayakan kekuatan tembok-tembok kota dan bekalan makanan yang tersedia, mereka berkelakuan biadab terhadap anak buah Yudas. Mereka mencaci maki, mengkufuri Allah dan meneriakkan kata-kata yang tidak senonoh.

15. Tetapi orang Yahudi berdoa kepada Yang Maha Besar, Tuhan alam semesta, yang pada zaman Yosua menghancurkan tembok-tembok kota Yerikho tanpa alat pelempar atau kayu pelantak. Kemudian mereka seperti binatang buas, menyerbu tembok itu.

16. Oleh sebab kehendak Allah, kota itu dapat direbut oleh mereka. Mereka membinasakan banyak sekali orang, sehingga sebuah tasik dekat tempat itu, yang lebarnya setengah kilometer, nampaknya penuh darah.

2 Makabe 12