2. lalu mengerahkan lebih kurang 80,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan seluruh pasukan berkudanya melawan orang Yahudi, dengan maksud menjadikan Yerusalem sebuah kota kediaman bagi orang Yunani.
3. Dia juga bermaksud memungut cukai dari Rumah Allah, seperti dari rumah ibadat bangsa-bangsa lain, melelong jawatan Imam Agung pada setiap tahun.
4. Lisias sangat puas dengan angkatan perangnya yang terdiri daripada puluhan ribu orang pasukan tentera berjalan kaki, ribuan orang pasukan berkuda dan lapan puluh ekor gajah, tetapi dia sama sekali tidak memperhitungkan kekuasaan Allah.
5. Dia memasuki Yudea dan menyerang kubu Bet-Zur, kira-kira dua puluh lima kilometer di sebelah selatan Yerusalem.
6. Apabila Yudas dan anak buahnya mendengar bahawa Lisias sedang mengepung kubu-kubu mereka, mereka dan seluruh rakyat menangis serta memohon kepada Tuhan supaya Dia mengutus malaikat yang baik untuk menyelamatkan Israel.
7. Yudas yang pertama-tama mengangkat senjata, mengajak yang lain ikut dengan dia supaya mempertaruhkan nyawa untuk menolong saudara-saudara mereka. Dengan penuh semangat, berangkatlah mereka bersama-sama.
8. Ketika mereka masih dekat dengan Yerusalem, tampaklah penunggang kuda memimpin barisan mereka. Pakaiannya serba putih dan dia melambaikan senjata yang keemasan.
9. Mereka serentak bersyukur kepada Allah yang berbelas kasihan. Dia menguatkan hati mereka sehingga mereka bersedia menyerbu bukan hanya manusia, tetapi juga binatang yang paling buas dan tembok-tembok besi.
10. Maka majulah mereka dalam keadaan siap tempur, didampingi oleh utusan dari syurga, kerana Allah berbelas kasihan kepada mereka.
11. Lalu seperti singa, mereka menyerbu musuh dan menumpas 11,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 1,600 orang pasukan berkuda, sedangkan yang lain terpaksa melarikan diri.
12. Antara yang melarikan diri itu banyak yang luka-luka dan kehilangan senjata. Lisias sendiri terlepas kerana melarikan diri dengan cara yang memalukan.
13. Lisias bukan orang yang bodoh, maka dia berfikir tentang kekalahan yang baru dideritanya. Dia menyedari bahawa orang Yahudi tidak dapat dikalahkan kerana Allah yang berkuasa berpihak pada mereka. Jadi dia mengirim pesan kepada orang Yahudi
14. supaya mereka berdamai dengan syarat-syarat yang adil. Dia juga berjanji akan mendesak raja supaya bersahabat dengan mereka.
15. Yudas Makabe memikirkan kepentingan rakyat, oleh itu dia bersetuju dengan semua yang diusulkan Lisias, kerana raja pun sudah menyetujui semua permintaan tertulis yang disampaikan oleh Yudas kepada Lisias.
16. Beginilah bunyi surat Lisias kepada orang Yahudi:“Daripada Lisias kepada rakyat Yahudi, salam!
17. Utusan saudara-saudara, iaitu Yohanes dan Absalom, telah menyerahkan surat yang ditandatangani saudara-saudara, kepada saya, dan meminta jawapan bagi kandungannya.
18. Saya sudah menyampaikan apa yang perlu diketahui kepada raja, dan baginda bersetuju dengan apa yang dapat dilaksanakan.
19. Jika saudara sekalian tetap setia kepada pemerintah, saya akan mengusahakan segala sesuatu yang baik bagi saudara-saudara pada masa akan datang.
20. Saya sudah menugaskan wakil-wakil saya dan wakil-wakil saudara-saudara untuk merundingkan hal-hal ini secara terperinci dengan saudara semua.