29. Ketika pertempuran itu menjadi hangat, tampaklah oleh musuh lima orang yang gemilang turun dari langit. Mereka menunggang kuda dengan kekang emas. Kelima-lima orang itu memimpin pasukan Yahudi
30. dan mengelilingi Yudas untuk melindungi dia dengan perlengkapan senjata mereka. Sementara itu mereka menghujani musuh dengan anak panah dan kilat. Musuh menjadi bingung dan hilang akal, sehingga mereka tercerai-cerai dalam keadaan kacau-bilau.
31. Pasukan tentera berjalan kaki sebanyak 20,000 orang dan pasukan tentera berkuda sebanyak 600 orang dibunuh.
32. Tetapi Timotius sendiri melarikan diri ke Gezer, sebuah kubu yang sangat kukuh. Kaireas, saudaranya ialah komandan di kubu itu.
33. Pasukan Yudas dengan penuh semangat mengepung kubu itu selama empat hari.
34. Orang di dalam kubu menaruh kepercayaan kepada kekukuhan tempat mereka dan terus meneriakkan kata-kata kasar mengutuk Allah dan orang Yahudi.
35. Pada waktu fajar hari yang kelima, dua puluh orang anak buah Yudas yang berkobar-kobar dengan kemarahan kerana kata-kata kutukan itu, dengan beraninya menyerbu tembok. Mereka mengamuk seperti binatang buas dan dengan pedang membunuh sesiapa sahaja yang dijumpai oleh mereka.