2 Makabe 1:9-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Oleh sebab itu hendaklah kamu merayakan suatu perayaan yang sama dengan Perayaan Pondok Daun dalam bulan Kislew.” Ditulis dalam tahun 188.

10. “Daripada orang Yahudi di Yerusalem dan Yudea, Majlis Tua-Tua serta Yudas, kepada semua orang Yahudi di Mesir, terutamanya kepada Aristobulus keturunan para imam yang diurapi dan guru kepada Raja Ptolemeus, salam!

11. Kami sangat bersyukur kepada Allah, kerana Dia telah menyelamatkan kami daripada bahaya yang besar dengan menolong kami melawan raja.

12. Allah telah mengusir musuh dari kota Yerusalem.

13. Ketika Raja Antiokhus tiba di Persia, tentera baginda nampaknya sukar dikalahkan. Tetapi mereka dihancurkan di dalam kuil Dewi Nanaia kerana muslihat para imam yang menyembah dewi itu.

14. Raja Antiokhus datang ke situ dengan beberapa orang sahabat. Baginda berpura-pura mahu mengahwini dewi itu supaya dapat mengambil banyak harta kuil sebagai mas kahwin.

15. Para imam mempamerkan semua harta itu. Setelah raja dan sahabat-sahabat raja masuk ke dalam kuil itu, imam-imam menutup pintunya.

16. Lalu dari pintu rahsia di loteng, mereka melempari raja dan sahabat-sahabat raja dengan batu sehingga mati. Mayat mereka dicincang dan kepala mereka dilemparkan kepada orang di luar.”

2 Makabe 1