1 Samuel 17:8-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku.

9. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami.

10. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!”

11. Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan.

12. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua.

13. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama.

14. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul,

15. Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya.

16. Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka.

17. Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera.

18. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat.

19. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.”

20. Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang.

21. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur.

22. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka.

23. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu.

24. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan.

25. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.”

26. Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!”

27. Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat.

1 Samuel 17