1 Raja-Raja 10:11-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Kumpulan kapal Raja Hiram yang membawa emas dari Ofir, juga membawa banyak kayu cendana dan batu permata dari sana.

12. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat susuran bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi dan gambus bagi para pemuzik. Kayu cendana itu kayu cendana yang terbaik yang pernah dibawa ke Israel. Sejak itu, kayu cendana yang sebaik itu tidak pernah dilihat lagi.)

13. Selain daripada hadiah-hadiah yang biasa diberikan oleh Raja Salomo, raja juga memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Kemudian ratu itu dan semua pengiringnya pulang ke negeri Syeba.

14-15. Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, keuntungan daripada perdagangan, ufti yang dibayar oleh raja-raja Arab dan para gabenor negeri Israel, Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas pada setiap tahun.

16. Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 7 kilogram emas.

17. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 2 kilogram emas. Raja Salomo meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.

1 Raja-Raja 10