10. Maka baginda memanggil semua sahabat baginda dan bertitah kepada mereka, “Beta tak dapat beradu dan hati beta tertekan kerana cemas.
11. Semula beta bertanya pada diri sendiri mengapa beta ditimpa kesukaran yang bertubi-tubi ini, padahal selama pemerintahan beta, beta baik hati dan disukai orang.
12. Tapi sekarang beta teringat akan segala kejahatan yang beta lakukan di Yerusalem, dengan merampas barang-barang emas dan perak dari Rumah Allah dan tanpa alasan menyuruh menumpas penduduk Yudea.
13. Beta insaf bahawa itulah sebabnya beta ditimpa malapetaka ini. Sekarang beta akan mangkat dengan sangat sedih di negeri asing.”
14. Lalu baginda memanggil Filipus, seorang sahabat baginda, dan melantiknya menjadi pemerintah seluruh kerajaan.
15. Baginda menyerahkan mahkota kerajaan, jubah, dan cincin meterai baginda kepada Filipus dengan pesan supaya Filipus mengasuh dan mendidik Antiokhus putera baginda supaya kelak menjadi raja.
16. Maka mangkatlah Raja Antiokhus yang Keempat di situ dalam tahun 149.
17. Ketika Lisias mendengar bahawa raja sudah mangkat, dia mengangkat Antiokhus yang muda menjadi raja. Sejak kecil baginda telah diasuh oleh Lisias. Sekarang baginda diberi nama Eupator.
18. Sementara itu askar di dalam kubu di Yerusalem menutup jalan bagi orang Israel di sekeliling Rumah Allah. Tidak henti-hentinya mereka menyusahkan orang Israel dan menyokong orang asing.
19. Oleh itu Yudas memutuskan untuk menumpaskan mereka. Dia mengumpulkan seluruh rakyat untuk mengepung kubu itu.
20. Mereka berkumpul dan mengepung kubu itu dalam tahun 150. Mereka membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak.
21. Tetapi beberapa orang dapat melepaskan diri daripada pengepungan, dan bersama dengan beberapa orang Yahudi yang derhaka,
22. mereka menghadap raja dan berkata, “Berapa lamakah tuanku akan menunggu sebelum menegakkan hukum dan membalas perbuatan mereka terhadap saudara-saudara kami?
23. Kami sudah mengabdi kepada ayahanda tuanku dengan sukarela, menuruti semua titah baginda dan mentaati semua perintah baginda.