1 Makabe 5:48-66 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

48. Yudas mengirim pesan persahabatan kepada mereka, katanya, “Kami dalam perjalanan pulang ke negeri kami. Izinkanlah kami melalui daerah kamu. Tidak seorang pun akan mengganggu kamu; kami hanya ingin lalu.” Tetapi penduduk kota itu tidak mahu membuka pintu gerbang.

49. Maka Yudas menyuruh setiap orang mengambil tempat masing-masing.

50. Jadi para askar bersiap-siap. Mereka menyerang kota dan bertempur sehari semalam penuh sehingga kota itu jatuh ke tangan mereka.

51. Semua penduduk lelaki dibunuh, lalu kota dijarah dan diratakan dengan tanah. Kemudian Yudas dan rakyat melalui kota itu dengan berjalan di atas mayat-mayat penduduknya.

52. Mereka menyeberang Sungai Yordan menuju ke dataran luas yang berhadapan dengan Bet-Sean.

53. Sepanjang jalan Yudas mengumpulkan orang yang ketinggalan dan memberi semangat kepada rakyat sehingga mereka tiba di tanah Yudea.

54. Dengan rasa syukur dan gembira mereka naik ke Bukit Sion dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan kerana mereka tiba dengan selamat tanpa kehilangan seorang pun.

55. Sementara itu Yudas dan Yonatan berada di Gilead dan Simon abang mereka di Galilea dekat dengan kota Ptolemais.

56. Azarya dan Yusuf anak Zakarya, dua orang panglima pasukan di Yudea, mendapat khabar tentang kepahlawanan Yudas dan Simon.

57. Lalu mereka berkata, “Marilah kita berperang melawan orang asing di sekitar sini supaya kita juga mendapat nama harum.”

58. Maka mereka menyuruh anak buah mereka menyerang kota Yamnia.

59. Tetapi Gorgias dan anak buahnya keluar dari kota itu hendak bertempur dengan mereka.

60. Yusuf dan Azarya dikalahkan dan dikejar sehingga ke perbatasan Yudea. Pada hari itu lebih kurang 2,000 orang Israel binasa.

61. Rakyat menderita kekalahan besar kerana pemimpin-pemimpin itu ingin menjadi pahlawan dan tidak mahu taat kepada Yudas dan saudara-saudaranya.

62. Selain itu mereka bukan berkerabat dengan orang yang dipilih oleh Tuhan untuk membebaskan Israel.

63. Yudas Makabe dan saudara-saudaranya sangat dihormati oleh semua orang Israel dan orang asing. Di mana sahaja nama mereka terdengar,

64. orang berkerumun untuk memuji mereka.

65. Kemudian Yudas dan saudara-saudaranya pergi untuk memerangi orang Idumea di selatan. Dia menyerang kota Hebron dan kampung-kampung di sekitarnya. Kubu-kubunya dihancurkan dan menara-menara di sekelilingnya dibakar.

66. Dari situ dia mara terus ke negeri Filistea melalui kota Marisa.

1 Makabe 5