6. Kami memberi kuasa kepada tuan untuk mencetak mata wang sendiri untuk negeri tuan.
7. Yerusalem dan Rumah Allah tetap bebas daripada cukai. Semua perlengkapan senjata yang tuan buat dan semua kubu yang tuan dirikan dan kuasai, tetap milik tuan.
8. Selain itu semua hutang tuan kepada perbendaharaan kerajaan dan apa yang harus tuan bayar, dihapuskan untuk selama-lamanya.
9. Segera sesudah kami merebut takhta, kami akan memberi kehormatan besar kepada tuan sendiri, bangsa tuan dan Rumah Allah, sehingga menjadi termasyhur di seluruh dunia.”
10. Dalam tahun 174 Antiokhus menyerbu negeri nenek moyangnya. Banyak pasukan bergabung dengan dia, sehingga tinggal sedikit sahaja di pihak Trifon.
11. Trifon dikejar oleh Antiokhus dan lari ke kota Dor di pantai.
12. Trifon sedar bahawa tidak ada harapan baginya, oleh sebab dia sudah ditinggalkan oleh semua pasukannya.
13. Antiokhus mengepung kota Dor dengan 120,000 orang askar dan 8,000 orang pasukan berkuda.
14. Dalam serangan itu Antiokhus dibantu oleh kapal-kapalnya. Kota itu terkepung sama sekali baik dari darat mahupun dari laut, sehingga tidak seorang pun dapat masuk atau keluar.
15. Sementara itu Numenius dan rombongannya kembali dari Roma, dengan membawa surat yang dialamatkan kepada berbagai-bagai raja dan negara. Beginilah bunyi surat itu:
16. “Daripada Lukius, konsul orang Roma, kepada Raja Ptolemeus, salam!
17. Imam Agung Simon dan bangsa Yahudi, sahabat dan sekutu kami, telah mengirim utusan untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan yang dahulu.
18. Mereka membawa hadiah sebuah perisai emas seberat 44 kilogram.
19. Kami berkenan menulis kepada semua raja dan negeri supaya tidak mengganggu atau memerangi orang Yahudi, kota-kota dan negeri mereka, atau bersekutu dengan orang yang memerangi mereka.
20. Kami telah memutuskan untuk menerima perisai itu.
21. Oleh itu kalau ada pengkhianat yang melarikan diri dari negeri Yudea dan minta perlindungan di negeri tuan, serahkanlah mereka kepada Imam Agung Simon supaya dihukum menurut undang-undang mereka.”