16. Tetapi kami akan membebaskannya asalkan tuan membayar 3,000 kilogram perak kepada kami dan mengirim dua orang anak lelakinya sebagai tawanan untuk menjamin bahawa dia tidak akan memberontak terhadap kami sesudah dia dibebaskan.”
17. Meskipun Simon tahu bahawa dia ditipu, dia mengirim juga wang itu dan kedua-dua orang anak lelaki Yonatan, kerana dia tidak mahu menimbulkan rasa benci daripada pihak rakyat.
18. Dia takut mereka akan mengatakan bahawa Yonatan dibunuh kerana Simon tidak mahu mengirim wang dan kedua-dua orang anak itu.
19. Maka diturutinya permintaan Trifon, tetapi Trifon mengingkari janjinya dan tidak melepaskan Yonatan.
20. Kemudian Trifon maju melalui jalan lain ke Adora untuk menduduki dan memusnahkan negeri itu. Tetapi Simon dan tenteranya merintanginya ke mana pun Trifon pergi.
21. Sementara itu tentera musuh di kubu Yerusalem mengirim utusan-utusan kepada Trifon untuk mendesaknya supaya lekas datang melalui padang gurun dan membawa perbekalan bagi mereka.
22. Trifon menyiapkan seluruh pasukan berkudanya untuk pergi ke situ. Tetapi malam itu salji turun amat banyak sehingga mereka tidak dapat mara. Maka Trifon mundur dan pergi ke Gilead.
23. Ketika mereka sudah mendekati kota Baskama, Trifon membunuh Yonatan, dan jenazahnya dimakamkan di situ.
24. Sesudah itu Trifon berpatah balik dan pulang ke negerinya.
25. Lalu Simon menyuruh beberapa orang membawa jenazah Yonatan ke Modein, supaya dapat dimakamkan di kota nenek moyangnya.
26. Seluruh bangsa Israel dengan sangat sedih meratapi Yonatan, dan mereka berkabung lama sekali.
27. Kemudian di atas makam bapa dan saudara-saudaranya, Simon mendirikan sebuah tugu yang tinggi yang dapat dilihat dari jauh. Bahagian hadapan dan belakangnya dilapis dengan batu yang diasah.