1 Makabe 11:34-41 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

34. Kami mengesahkan hak mereka terhadap daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah, iaitu kota Efraim, Lida, dan Ramataim serta daerah sekitarnya. Ketiga-tiga buah daerah Samaria itu kami tetapkan menjadi satu dengan Yudea. Hal itu akan menguntungkan orang yang membawa persembahan ke Yerusalem, oleh sebab cukai tahunan daripada hasil tanaman dan buah-buahan bukan lagi untuk raja, tetapi untuk Rumah Allah.

35. Mulai hari ini kami juga membebaskan mereka daripada membayar cukai sepersepuluhan, cukai garam, dan semua cukai khas untuk raja.

36. Tidak satu pun fasal yang tersebut di dalam surat ini boleh dibatalkan mulai sekarang untuk selama-lamanya.

37. Sila buatkan salinan surat perintah ini untuk diberikan kepada Yonatan supaya diletakkan di Bukit Sion sehingga dapat dilihat oleh semua orang.”

38. Raja Demetrius melihat bahawa negeri baginda aman dan tenteram di bawah pemerintahan baginda, dan tidak ada lagi yang memberi perlawanan terhadap baginda. Maka dibubarkannya seluruh tentera baginda. Semua askar disuruh pulang ke rumah masing-masing, kecuali pasukan tentera asing yang diupah dari kepulauan Yunani. Kerana tindakan itu, askar-askar yang bekerja sejak raja-raja yang terdahulu mula membenci Raja Demetrius.

39. Antara orang yang dahulu menyokong Raja Aleksander, ada seorang yang bernama Trifon. Dia melihat bahawa semua pasukan bersungut terhadap Raja Demetrius. Oleh itu dia pergi bertemu dengan Imalkue, orang Arab yang mengasuh Antiokhus putera Raja Aleksander yang masih muda.

40. Lama juga Trifon tinggal di sana. Dia mendesak Imalkue untuk menyerahkan anak itu kepadanya supaya dapat dijadikan raja bagi menggantikan ayahandanya. Dia juga memberitahu Imalkue tentang tindakan-tindakan Raja Demetrius dan kebencian para askar terhadap baginda.

41. Sementara itu Yonatan mengajukan permohonan kepada Raja Demetrius supaya pasukan-pasukannya ditarik kembali dari kubu di Yerusalem dan dari kubu-kubu lainnya di Yudea, kerana mereka terus memerangi Israel.

1 Makabe 11